Thursday, April 16, 2009

Bidadari Dari Timur (BDT)


SINOPSIS :

Pateri cinta di ancala harapan tatkala si gadis dilamar teruna dari golongan elit. Umpama bulan jatuh ke riba, sireh pulang ke gagang, lembing awang pulang ke dayang. Kalau jodoh sudah tersurat gunung berapi bukan halangan. Garam di laut, asam di darat akhirnya bersatu jua. Siapa menduga, gadis sunti yang pemalu dan santun kini disunting pria berhati luhur. Cinta disulam menjadi hamparan menuju gerbang bahagia. Kata orang bercinta sesudah nikah lebih manis! Kata aku, bercinta sesudah nikah mengenalkan aku kepada perlindungan seorang lelaki bernama suami.

Menjadi puan diusia muda cukup mencabar, berkat asuhan dan didikan suami yang setia dan penyabar telah memberi perangsang untuk aku menguruskan rumahtangga seperti wanita matang yang lain. Benar, bukan mudah memcicip erti sebuah kebahagian jika tautan hati dengan al-Khaliq rapuh. Aku bersyukur mempunyai sayap kanan yang bisa menjadi suami, bapa dan murabbi. Aku adalah isteri, ibu dan suri di hati pejuang…

Bidadari Dari Timur...
Seandainya direntasi laut segara,
Tiada yang bisa menandingi lautan tabahmu,
Seandainya gunung dijadikan pasak,
Belum tentu seteguh setiamu,
Seandainya ditawarkan buatku seorang isteri,
Kau yang ingin kubawa hingga ke negeri abadi...


Lebuhraya maklumat hari ini yang membawa kita menuju ke arah jalan kebaikan ini seharusnya dikembangkan lagi dengan kehadiran pelbagai genre. Kita tak mungkin dapat berbicara santai melalui khutbah dan ceramah semata-mata kepada generasi muda.

Satu percubaan sulung sudah pun dimulakan lewat novel memoir hasil buah tangan Tuan Sabariah Tuan Ishak & Ili Sarah Annual Bakri berjudul Bidadari Dari Timur (BDT).

Jarang-jarang kita dapat mengesan susur-galur kehidupan perjuangan kaum wanita dalam gerakan Islam.

Mungkin keadaan ini berlaku kerana kurangnya usaha mencetak karya-karya mereka atau mungkin tidak banyak pula pendedahan dan peluang seumpama ini diberi kepada anggota muslimah yang ingin berkarya. Sebenarnya, bukanlah tiada muslimah yang berkarya.

Misalnya Zainab al-Ghazali; sosok tegar yang terkenal kental spiritual dan pernah dicetak madrasah Ikhwan Muslimin sebelum ini. Beliau pernah hadir mendandan dunia penulisan lewat bingkisannya yang berjudul, Hari-hari dalam hidupku.. Itu kisah di Mesir.

Di Amerika, seorang wanita Yahudi; Margret Marcus, akhirnya dimuliakan Allah dengan panggilan nama Islamnya Maryam Jameelah.

Bermula dengan kegiatan berutus surat kepada Sayyid Abul 'Ala al-Maududi, beliau telah hadir mengisi persuratan Islam bermodalkan bingkisan surat-surat peribadi yang akhirnya dibukukan dan teredar ke serata dunia!

Menambah kepustakaan feminis Muslimah
Maka, kehadiran Bidadari Dari Timur ini walau apa pun kenyataan dan pandangan yang tiba sesudah kehadirannya di pasaran, nescaya ia tidak akan menolak hakikat kebenaran bahawa BDT telah menambah sebuah lagi karya yang memenuhi selera pembaca sekali gus ia cuba melengkapkan kepustakaan muslimah daripada semasa ke semasa.

Novel ini adalah sebuah catatan pengalaman isteri seorang pejuang yang meluangkan masa berpuluh tahun hidupnya bersama Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Akhirnya beliau tampil membongkar rahsia hidupnya sejak bergelar ratu di hati ulama tersohor ini. Segala pahit getir dihirup bersama, saling mempercayai sehingga tiada ruang untuk meletakkan curiga antara mereka.

Novel ini tampil dengan nada yang tulus, harmoni. Ia meriwayatkan hidup, memperihal kesetiaan, pengorbanan dan perjuangan.

Pengalaman isteri Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan dirakam dalam langgam bahasa yang puitis sehingga membuatkan pembaca turut sama meranduk tohor dalamnya sungai kehidupan yang punya saat kering dan bahnya.

"Kami menjangkakan novel sulung kami ini akan mendapat perhatian daripada semua golongan, pastinya mereka ingin mengetahui apa yang sebenar di sebalik kehidupan Tuan Sabariah dan Tuan Guru Haji Nik Aziz," kata wakil Anbakri Publika Sdn Bhd Masri Abu Soed.

Dilancarkan di PWTC
Dengan jumlah muka surat setebal 128 halaman, Bidadari Dari Timur yang merupakan novel sulung terbitan Anbakri Publika Sdn Bhd ini bakal menemui para pengunjungnya di Pesta Buku Antarabangsa, Kuala Lumpur 2009.

Dijual dengan harga RM12.90, khalayak pembaca boleh memburunya ketika pelancaran novel ini berlangsung pada 19 April (Ahad) depan.

Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dijadualkan berada di bilik Kedah / Johor (PWTC) untuk melancarkan novel tersebut selama sejam bermula 12 tengah hari sehingga jam 1 petang.

Bidadari Dari Timur..
Seandainya direntasi laut segara,
Tiada yang bisa menandingi lautan tabahmu,
Seandainya gunung dijadikan pasak,
Belum tentu seteguh setiamu,
Seandainya ditawarkan buatku seorang isteri,
Kau yang ingin kubawa hingga ke negeri abadi..

Selaut sengsara, mereka telah redah bersama. Dan kepada sidang pembaca, andalah yang lebih layak meredah segala pahit derita mereka dalam melayari bahtera kehidupan.

Atau para pengunjung boleh mendapatkan naskhah yang memuatkan coretan dan kupasan belahan hati, belahan jiwa tuan guru ini di No 86 ruang legar PWTC ketika pesta buku itu berlangsung nanti.

Pandangan dan kritikan boleh dimajukan lewat mel-e ibnuamir@yahoo.com.Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya _

0 comments: